SELANGOR

Kebun komuniti beri manfaat, penglibatan generasi muda mesti dipertingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Kewujudan kebun komuniti masih disifatkan penting walaupun ‘urban agro’ tidak memberikan impak besar seperti industri pertanian nasional.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kesedaran terhadap kebergantungan negara terhadap sektor pengimportan makanan perlu diberikan perhatian dalam mendidik masyarakat untuk berbudi kepada tanah.

“Kebun komuniti ini disifatkan sebagai jaminan simpanan makanan. Walaupun lokasi pertanian diusahakan kecil, tetapi ia penting untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Mengikut statistik, negara mengimport makanan berjumlah RM40 bilion pada 2017 dengan peratusan terbesar adalah sayur-sayuran.

“Kebergantungan besar juga buka sahaja untuk kegunaan kita seharian ia termasuk makanan untuk haiwan ternakan dengan jumlah import RM6.2 bilion dan RM3.3 bilion daripadanya adalah jagung bagi kegunaan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang di Kebun Komuniti Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia, Shah Alam.

Menurutnya, penglibatan golongan muda perlu dipertingkatkan tambahan dengan penggunaan teknologi masa kini mampu memberikan pulangan lumayan.

Katanya, keadaan tanah yang tidak terawat mengakibatkan ia rosak sekaligus menyebabkan tanaman gagal memberikan hasil diharapkan.

Ini termasuk penggunaan baja dan racun berlebihan bahkan petani digalakkan menggunakan baja organik yang lebih selamat serta mesra alam.

Menyentuh soal pembangunan pertanian dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 Izham menjelaskan Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa insentif dan program bagi memastikan industri itu terus menyumbang kepada negeri serta negara.

 


Pengarang :