SELANGOR

Kejohanan Paragliding Jugra 2018 tumpuan penggemar sukan ekstrim

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 11 OKT: Penggemar sukan ekstrim paragliding berpeluang meraih hadiah keseluruhan RM7,000 menerusi Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2018, pada 20 dan 21 Oktober ini.

Bertempat di Pusat Latihan Paragliding Jugra, kejohanan anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) itu membabitkan tiga kategori iaitu kebangsaan, terbuka dan berpasukan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kembali menganjurkan kejohanan terbabit ekoran ia mendapat sambutan ramai.

“Sukan ekstrim paragliding adalah antara sukan lasak menjadi daya tarikan anak muda di Malaysia khususnya di daerah Kuala Langat.

“Dianggarkan sekitar 30 hingga 40 peserta dari seluruh Malaysia akan menyertai kejohanan kali ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori kebangsaan, juara bakal membawa pulang RM1,000; naib juara (RM700); ketiga (RM500) dan tempat keempat serta kelima masing-masing menerima RM200.

Manakala, hadiah kategori terbuka dan berpasukan, juara masing-masing membawa pulang RM1,000; naib juara (RM700) dan ketiga (RM500).

Setiap pemenang turut menerima sijil dan medal.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kejohanan paragliding boleh menghubungi Unit Korporat Dan Perhubungan Awam MDKL di talian 03 – 3180 3694.


Pengarang :