NASIONAL

Kelahiran autisme negara 1:68

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan mendedahkan kadar nisbah kelahiran kanak-kanak autisme di Malaysia dianggar satu bagi setiap 68.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, nisbah itu berdasarkan kelahiran 9,000 kanak-kanak autisme yang direkodkan setiap tahun.

Katanya, seramai 20,339 Orang Kelainan Upaya (OKU) mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 30 September lalu.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa kanak-kanak autisme untuk mendaftar dengan JKM bagi membolehkan mereka menerima manfaat disediakan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Katanya, kempen pendaftaran OKU dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun mengikut negeri atau zon melalui program kerajaan dengan membuka ‘booth’ pendaftaran bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berhubung perkara itu.

Hannah berkata, kerajaan juga menyokong Kempen #LightItUpBlue sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia, pada 2 April setiap tahun.

“Selain itu, kewujudan Pusat Permata Kurnia membantu menyediakan program intervensi sepenuh masa untuk kanak-kanak autisme berusia antara 4 hingga 6 tahun sebagai persediaan memasuki sekolah aliran perdana.

“Kerajaan juga menyediakan program Disability Equality Training (DET) dan Disability Related Services Training yang merupakan antara program bulanan utama dan berkala JKM kepada OKU, majikan serta orang awam.

“Sehingga September lalu, seramai 805 peserta menyertai DET menerusi 18 kursus di seluruh negara dan pelbagai agensi.


Pengarang :