AGAMASELANGOR

Keluarga mangsa letupan dapat perhatian Lembaga Zakat Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 25 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited membantu keluarga mangsa yang terbabit dalam letupan mesin kedai dobi di sini, baru-baru ini.

Ketua Operasi Agihan LZS cawangan Klang, Sharil Ritin berkata, pihaknya akan membiayai kos rawatan diperlukan anak mangsa, iaitu Nurani Ellesya Badrul Nizam, 14, yang masih menjalani beberapa pembedahan bagi merawat anggota badannya yang melecur

Katanya, anak sulung daripada empat adik-beradik itu ditempatkan di Hospital Selayang ekoran melecur hampir 47 peratus di beberapa bahagian badan.

“Keluarga mereka juga layak menerima bantuan zakat sebagai asnaf miskin memandangkan tiada lagi sumber pendapatan dan empat anak yang masih ditanggung.

“Kami juga menyerahkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada ibu mangsa dan berharap mereka akan terus tabah dengan dugaan yang hebat ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam kejadian pada 4 Oktober lalu, mangsa, Badrul Nizam Baharom, 43, parah selepas mesin pengering pakaian di dobi yang terletak di Jalan Setia Klang tiba-tiba meletup selepas mangsa menekan butang ‘start’.

Selepas 10 hari bertarung nyawa, mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, pada 14 Oktober lalu.

Mangsa yang berusia 43 tahun itu menghembus nafas terakhir pada jam 8 pagi akibat kegagalan organ selepas menderita akibat melecur sehingga 73.5 pe­ratus akibat insiden berkenaan.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga arwah terutama bagi rawatan Nurani Ellesya, boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Haizira Badarudin yang bernombor 164306343048.


Pengarang :