SELANGOR

Kementerian Kesihatan pandang serius isu kesesakan trafik Hospital Serdang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 3 OKT: Kementerian Kesihatan memandang serius isu kesesakan trafik dan tempat letak kenderaan tidak mencukupi yang berlaku di Hospital Serdang.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut untuk dibincangkan bersama Menteri, Dr Dzulkefly Ahmad serta Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

“Setelah membuat lawatan bersama kakitangan hospital, saya boleh melihat sendiri keadaan kesesakan yang begitu serius memandangkan hospital ini menjadi tumpuan warga Selangor dan juga luar daripada negeri ini.

“Kita akan melihat tindakan yang bersesuaian untuk mengatasinya, namun begitu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada warga hospital kerana bertungkus lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik walaupun dalam keadaan tertekan dan terhad ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Serdang, hari ini.

Hadir sama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan, dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Boon Chye turut dibawa melawat ke Jabatan Kecemasan & Trauma, Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Kaunter Pendaftaran (Sementara) Klinik Pakar, Wad Perubatan (8C) dan Wad Rehabilitasi (6G), Pusat Rawatan Harian (CHDW / ICW) dan Makmal Jantung Invasif (ICL).

Pada masa sama, Boon Chye berkata, beliau juga akan membawa isu bagi menaiktaraf makmal neonatal di Unit Rawatan Rapi (ICU), bahagian jantung serta penambahan wad di hospital terbabit.

“Kita juga akan melihat penambahbaikan daripada sudut teknologi maklumat dan komputer bagi menampung keperluan sedia ada,” katanya.


Pengarang :