SELANGOR

Kemuka permohonan jika pembinaan di lereng bukit

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OKT: Pemaju diingatkan supaya mengemukakan permohonan jika terdapat pembinaan di lereng bukit melebihi 25 peratus tahap kecerunan.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad berkata, permohonan itu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar negeri sebelum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

“Melalui jawatankuasa berkenaan, pakar berkaitan antaranya Jabatan Kerja Raya, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan bersidang bagi memperincikan semua permohonan berkenaan.

“Kita akan melihat sama ada perlu atau tidak pemaju melakukan kerja mitigasi jika ada pembinaan di lereng bukit,” katanya dalam sidang media.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar Selangor berkata, pihaknya kini menerima kira-kira empat permohonan lereng bukit dalam tempoh sebulan.

“Selain lereng bukit, kawasan sensitif lain yang turut dibincangkan melalui jawatankuasa ini ialah tanah gambut dan tasik,” katanya.


Pengarang :