SELANGOR

Kenang pengorbanan, hargai sumbangan pasukan bomba – Zawawi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 5 OKT: Sumbangan, peranan dan bakti pasukan bomba demi memastikan kesejahteraan rakyat harus dikenang serta dipahat kemas dalam ingatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata, hal itu kerana tugas anggota keselamatan terbabit amat sukar dan sering terdedah dengan risiko luar jangka.

“Sepanjang tempoh sebulan saya dilantik sebagai ADN Sungai Kandis, ada lima kes besar berlaku yang memerlukan khidmat anggota bomba.

“Ia termasuk kebakaran di Johan Setia, pembakaran sampah haram di Jalan Kebun, kebocoran gas ammonia dan kebakaran dua buah rumah di kawasan ini, baru-baru ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Menghargai Petugas Bomba, di Ibu Pejabat Bomba Penyelamat Space U8, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 petugas bomba dan penyelamat daerah itu menyertai majlis berkenaan yang dipimpin Penguasa Bomba (Ketua Cawangan Perakuan Bangunan), Bukhari Ahmad.

Zawawi berkata, majlis terbabit bertujuan memperingati dan mengenang pengorbanan anggota pasukan berseragam itu dalam membantu rakyat di sini.

Katanya, ia sekali gus dapat merapatkan hubungan pimpinan bersama anggota berkenaan untuk terus bekerjasama pada masa akan datang.

“Saya berharap mereka terus mencurahkan bakti dan menjalankan perkhidmatan terbaik sebagai amanah Allah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban syahid ketika misi menyelamatkan seorang remaja lemas di sebuah lombong di Puchong, semalam.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala, dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25

 


Pengarang :