NASIONAL

Kerajaan berunding dengan syarikat utiliti kurangkan kos operasi pusat asuhan

SHAH ALAM 28 OKT: Kerajaan Persekutuan akan berunding dengan syarikat utiliti dalam masa terdekat ini, bagi membantu meringankan kos operasi pusat asuhan kanak-kanak yang dilihat agak tinggi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Beliau berkata usaha itu wajar memandangkan bil utiliti yang tinggi menjadi faktor utama wujudnya banyak pusat asuhan tidak berdaftar kerana pengusaha tidak mampu menanggung caj komersial yang dikenakan ke atas mereka jika berdaftar.

“Pusat asuhan ini tidak boleh mengenakan caj yang tinggi kepada ibu bapa jadi mereka terpaksa menanggung kos operasi yang membebankan. Hal ini juga akan mendorong mereka mengabaikan prosedur operasi standard dan garis panduan pusat asuhan yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, kementerian sedang bekerjasama dengan Majlis Pengasuhan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) dan persatuan pengasuh untuk mendaftarkan pusat-pusat asuhan yang masih belum berdaftar dan cari jalan untuk bantu mereka kurangkan kos-kos operasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Festival Kanak-kanak 2018 oleh Management and Science University (MSU) dan Minggu Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, di sini, semalam.

Tambah Yeoh, kementeriannya juga sedang membentuk satu ujian saringan untuk dilaksanakan ke atas mana-mana individu yang mahu menceburkan diri dalam industri pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak.

Beliau berkata usaha itu bukan bertujuan ‘mengacau’ periuk nasi bakal pengasuh, namun ujian itu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa berada pada tahap tertinggi jika dihantar ke pusat asuhan.

“Sebelum mana-mana individu mahu menjadi pengasuh, mereka perlu lulus ujian saringan ini. Ia untuk memastikan pengasuh tidak mempunyai sebarang rekod lampau sama ada sebagai pesalah seksual mahupun kes penderaan.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan polis, mahkamah dan Jabatan Penjara bagi mendapatkan maklumat bakal pengasuh dalam ujian saringan itu kelak. Usaha ini untuk menjadikan Malaysia lebih selamat kepada kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Yeoh berkata lebih 20,000 kes penderaan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh lima tahun lepas dan statistik itu menunjukkan pelakunya membabitkan penjaga, anggota keluarga serta individu yang dikenali kanak-kanak itu secara rapat.

Katanya, jumlah itu harus dibendung kerana kebarangkalian kanak-kanak itu melakukan perbuatan sama semasa dewasa akibat trauma adalah tinggi.

Disebabkan itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama memberikan terapi dan pemulihan sekiranya mengetahui ada kanak-kanak pernah didera supaya mereka faham bahawa perbuatan penderaan itu salah dan tidak mengulanginya pada masa hadapan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :