NASIONAL

Kerajaan kemuka cadangan tingkat kadar adunan biodiesel

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kementerian Industri Utama akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan meningkatkan kadar adunan biodisel sawit dalam sektor pengangkutan dan industri, dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Teresa Kok berkata, menerusi program Biodisel Negara, kadar adunan di stesen minyak merangkumi tujuh peratus biodisel sawit dan 93 peratus diesel petroleum, di bawah Program B7 dalam sektor pengangkutan.

Sementara katanya, sektor industri masih kekal menggunakan diesel biasa (B0).

“Kedua program (B7 dan B10) dijangka menggunakan 760,000 tan minyak sawit dalam negara setahun, seterusnya mengukuhkan harga sawit di pasaran.

“Kita juga memperkukuh pasaran eksport sedia ada, di China memandangkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Tsinghua di Beijing, pada Ogos lalu untuk menggalakkan penggunaan bahan api berasaskan sawit Malaysia di China,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat.

Katanya, harga diesel industri berada pada paras RM2.60-RM2.80 seliter, berbanding RM2.28 seliter untuk biodiesel.

Teresa berkata, penggunaan B7 dalam sektor industri akan memberi penjimatan kos bahan api sebanyak RM6.5 juta jika harga itu berterusan.

“Harga biodiesel sekarang adalah RM2.2857 berbanding harga kos diesel semasa RM2.3105 seliter.

“Maka, adalah jelas bahawa biodiesel lebih murah berbanding diesel,” katanya.


Pengarang :