SELANGOR

Kerajaan Negeri cari penyelesaian pentadbiran sempadan Selangor-KL

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 26 OKT: Kerajaan Negeri akan mencari jalan menyesuaikan kordinasi antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya beberapa tugas di kawasan persempadanan Selangor-Kuala Lumpur dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau mengambil maklum pandangan yang dikemukakan agensi Kerajaan Negeri ketika mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), pagi tadi.

“Kita harap menyelesaikan perkara itu kerana perjalanan kerjasama yang lebih efektif boleh dilakukan sekiranya ada kordinasi antara semua pihak.

“Kita sedia maklum Daerah Gombak terletak di pinggiran Kuala Lumpur dan timbul soal sempadan pengurusan pentadbiran,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Al-Amaniah, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan mencari jalan penyelesaian beberapa isu berbangkit seperti lokasi pembuangan sampah haram walaupun sudah berjaya diselesaikan sekitar 70 peratus selain masalah banjir kilat di Daerah Gombak.

Turut dibincangkan adalah kertas pelaburan ke luar negara dan misi pelancongan ke London pada 4 dan 5 November hadapan yang bakal disertai beberapa EXCO Kerajaan Negeri.


Pengarang :