Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri sokong Sime Darby Property jaya projek rumah mampu milik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong usaha Sime Darby Property melaksanakan projek perumahan berkonsep Divergent Dwelling Design (D3) dengan kadar harga mampu dimiliki rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha dijalankan Sime Darby Property itu adalah selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri memperkenalkan Rumah Selangorku iaitu rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

“Satu usaha yang baik dan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh di mana Sime Darby Property memperkenalkan beberapa pendekatan baharu dengan rumah ditawarkan mempunyai kualiti dan suasana baik serta dalam masa sama memperkenalkan konsep hijau.

“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan segera dan dapat memenuhi pasaran,” katanya kepada Media Selangor.

i

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke unit Pameran Rumah Lestari D3 Sime Darby Property di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Ketua Pengarah Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Seri Amrin Awaluddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha Sime Darby Property itu sedikit sebanyak dapat membantu Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran bagi menyediakan rumah selesa kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya projek perumahan D3 itu ingin dilabelkan sebagai rumah mampu milik, Sime Darby Property perlu mengadakan perbincangan bersama Lembaga Hartanah dan Perumahan Selangor (LHPS).

“Itu peraturan Kerajaan Negeri di mana dapat dasar dan pelan induknya serta kadar harga ditetapkan.

“Mereka boleh berbincang dengan LHPS untuk mendapatkan kata putus tetapi yang penting perlu dalam situasi ‘menang-menang’,” katanya.

Projek perumahan D3 dijalankan Sime Darby Property adalah inovasi dalam sistem pembinaan kediaman mampu milik merangkumi penggunaan teknologi dan reka bentuk dipertingkat secara holistik.

Ia dirancang dilancarkan penghujung tahun ini sebagai projek perintis Rumah Lestari D3 Sime Darby Property dinamakan Harmoni 1 di Elmina West, City of Elmina, Shah Alam.

Projek itu perangkumi tiga blok kediaman setinggi 19 ke 20 tingkat dengan sejumlah 562 unit berukuran 900 – 1,000 kaki persegi.


Pengarang :