SELANGORSUKANKINI

Kerajaan Negeri sokong usaha kembalikan kegemilangan Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyeru ahli ahli EXCO Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kelab-kelab gabungan serta persatuan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya terhadap visi pembaharuan FAS serta berharap semua pihak terlibat dapat mengetepikan perbezaan dan agenda individu bagi memastikan fokus diberikan kepada persediaan pasukan Selangor terutama menjelang pra musim 2019.

“Sokongan dizahirkan Kerajaan Negeri kepada FAS adalah atas keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS serta harapan peminat bola sepak Selangor yang mahukan FAS berjaya.

“Pertelingkahan dan perpecahan hanya membawa kesan negatif kepada FAS yang seterusnya mengakibatkan hilang kepercayaan dari peminat bola sepak Selangor dan sokongan dari Kerajaan Negeri.

“Saya yakin dan percaya dengan agenda pembaharuan dibawa DYTM Raja Muda Selangor akan dapat mengembalikan era kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning.

“Perlu diingat bahawa agenda ini tidak akan membuahkan hasil sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan sokongan semua pihak untuk direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memberikan suntikan dana RM5 juta bagi menyelesaikan beberapa tunggakan pentadbiran FAS.

Amirudin berkata, beliau percaya jika aspek musyawarah dan perbincangan dikekalkan beberapa salah faham yang timbul dapat dirungkaikan demi mengembalikan kegemilangan masa depan bolasepak Selangor.


Pengarang :