PELANCONGANSELANGOR

Kerajaan Negeri tarik pelabur sektor perhotelan dan pelancongan di Kuala Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Kuala Selangor akan dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan utama di Selangor ekoran terdapat pelbagai tempat menarik boleh dilawati.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, antara usaha dijalankan adalah dengan menarik lebih ramai pelabur industri perhotelan dan pelancongan melabur di daerah itu.

“Dato’ Menteri Besar dah nyatakan ada keperluan tinggi mewujudkan lebih banyak hotel dengan usaha Kerajaan Negeri menarik pelabur industri perhotelan dan pelancongan untuk menyediakan kemudahan tersebut.

“Ini kerana hanya dengan adanya kemudahan yang lebih baik sahaja dapat menarik lebih ramai pelancong untuk bermalam di Kuala Selangor kerana buat masa ini terdapat kekurangan hotel di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada acara Bukit Malawati Xploride 2018 di kaki Bukit Malawati di sini, hari ini.

Juwairiya berkata, antara lokasi yang mempunyai tarikan pelancongan di Kuala Selangor adalah ‘Sky Mirror’ dan kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Katanya, kedua-dua tarikan itu bertaraf dunia ekoran hanya terdapat beberapa lokasi sahaja yang seumpamanya di seluruh dunia.

Katanya, selain itu Kuala Selangor juga merupakan lokasi popular bagi peminat aktiviti berbasikal seluruh Selangor.

Terdahulu, Bukit Malawati Xploride 2018 anjuran Pejabat ADN dengan kerjasama Selangor Tourism mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 1,000 peserta.

Juwairiya berkata, acara itu akan dijadikan acara tahunan ekoran sambutan yang amat menggalakkan.


Pengarang :