SELANGOR

Kerajaan Negeri teruskan tanggungjawab semarak institusi agama

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 26 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyalurkan sumbangan RM60,000 kepada 20 buah institusi agama sempena program menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena Jelajah Maju Bersama ke Daerah Gombak di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, hari ini.

Setiap institusi agama terdiri daripada masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) masing-masing menerima sumbangan RM5,000.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noor Azmie Diron; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan bantuan pembiayaan perniagaan Hijrah Selangor (HIJRAH) berjumlah RM351,000 bagi Daerah Gombak.

Bagi Sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, 10 buah institusi agama menerima sumbangan al-Quran, tiga buah komputer riba manakala sumbangan baik pulih Bangunan KRT berjumlah RM32,000.

Amirudin bersama rombongan Kerajaan Negeri sebelum itu menunaikan solat fardhu Jumaat dipimpin Imam 3 Masjid Jamek Al-Amaniah, Nasrul Yaqin Abdullah dengan tajuk khutbah ‘Akhlak Mulia Cerminan Solat Sempurna’.

Dalam ucapannya beliau berharap sumbangan diberikan kepada institusi agama dapat menambahkan lagi aktiviti ilmu di samping menjadi pusat pertemuan rakyat dan penyatuan ummah.


Pengarang :