NASIONAL

Kerajaan rancang bina tujuh lagi balai cerap

TANJUNG MALIM, 17 OKT: Kerajaan sedang merancang untuk membina tujuh balai cerap bagi memperkembangkan usaha pembangunan penyelidikan falak di peringkat global dan menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan kepakaran dan pembelajaran ilmu falak sedunia.

Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata ketika ini terdapat enam balai cerap berskala besar dalam negara yang terdiri daripada balai cerap di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Langkawi di Kedah.

“Ia masih dalam perancangan. Tujuh balai cerap yang dirancang melibatkan pembinaan di negeri Perak, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah, dan Sarawak, selain balai cerap milik Jakim sendiri di Pulau Bunting, Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Falak Nusantara 2018 oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di sini hari ini.

Seminar bertemakan Ilmu Falak dan Masyarakat yang julung kalinya diadakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dengan kerjasama Universiti Malaya serta Kelab Instun itu melibatkan 250 ilmuan dari Malaysia dan rantau Nusantara dari Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina yang membentangkan 23 kertas kerja.

Mohd Zamri berkata ilmu falak atau astronomi merupakan cabang ilmu yang sangat penting kerana pengkajian yang mendalam dapat meningkatkan lagi pengetahuan manusia mengenai kejadian dan asal usul alam semesta serta mengenali objek-objek yang berada di dalamnya.

Malah jelasnya perkembangan ilmu itu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa ilmu falak ini berkaitan secara langsung dalam soal ibadat umat Islam.

“Ramai yang ingat ilmu falak ini hanya sekadar menentukan arah kiblat, waktu solat dan melihat anak bulan bagi menentukan Ramadan tapi sebenarnya ia sangat luas dan penting dalam kehidupan.

“Dan sebab itulah kemudahan dalam bidang ini perlu ditingkatkan lagi. Hal ini kerana kemajuan teknologi satelit, pengimejan dan sebagainya yang ada ketika ini adalah bertitik tolak daripada inspirasi manusia untuk meneroka alam semesta,” katanya.

Sementara itu Harussani menjelaskan balai cerap yang dirancangan dibina di Perak ialah di Pantai Pasir Panjang dalam mukim Pengkalan Baharu dengan kos kira-kira RM10 juta.

“Pelan pembinaan sudah diluluskan. Hanya tunggu masa dibina sahaja. Di Perak memang belum ada balai cerap, yang kita ada di Segari itu hanya berskala kecil yang keupayaannya terhad untuk tengok anak bulan sahaja,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :