NASIONAL

Kerajaan tandatangan ICERD lepas bincang dengan semua

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan akan membuat keputusan berkenaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan semua kaum, di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu harus mencapai kata sepakat semua pihak kerana ia berkait rapat dengan semua kaum yang ada, di Malaysia.

“Kita akan menandatanganinya selepas rundingan dijalankan dengan semua kaum dan saya sudah nyatakan ia bukan mudah kerana di Malaysia terdapat pelbagai kaum.

“Masing-masing sensitif terhadap perkara tertentu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau secara sinis berkata, tidak berguna masyarakat Melayu berbicara berkenaan ketuanan Melayu jika hanya ‘bekerja sebagai kuli orang’.

“Kalau kita nak jadi tuan, kita boleh jadi tuan tetapi kena mempunyai ilmu, rajin bekerja dan buat segala yang baik.

“Jangan tipu, jangan curi dan jangan ikut contoh Perdana Menteri yang lama,” katanya dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.


Pengarang :