BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan yakin kedudukan fiskal pulih menjelang akhir 2020

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan pada akhir 2020 dengan mensasarkan perkembangan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2018-2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun Kerajaan mengamalkan langkah berjimat cermat sepanjang tempoh berkenaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi ia hanya bersifat sementara, di samping mensasarkan defisit tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri terutama permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia.

“Permintaan swasta dijangka kekal menerajui pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta dijangka berkembang 5.7 peratus setahun.

“Dengan penambahbaikan tadbir urus dan peningkatan hasil, kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan, pada akhir tahun 2020.

“Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berhubung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Berbanding tempoh dua tahun pertama Rancangan 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dalam suasana inflasi pada kadar purata 2.9 peratus.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.

Dr Mahathir berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan semula menerusi perbelanjaan secara cermat kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional dahulu berbelanja dengan boros dan tidak berhemat.

“Amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.

“Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah.

“Namun, projek pembangunan sosioekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan,” katanya.

Katanya, antara langkah proaktif yang berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan High Speed Rail (HSR).

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu memastikan pengurangan perbelanjaan awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.


Pengarang :