EKONOMISELANGOR

Kerjasama produktif Selangor-Casablanca jayakan pembangunan Smart State

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Selangor sedia berbincang dengan Casablanca untuk melihat kesesuaian dan keragaman wilayah yang terkenal di Maghribi itu dalam melaksanakan program ‘Smart City’.

Beliau berkata, kerjasama itu juga menjurus kepada bagaimana membina ekosistem sebuah kawasan yang dianggap sebagai ‘Smart City’ kerana ia masih baru di dunia dan banyak proses pelaksanaan serta pendekatan yang baik akan dikenal pasti.

“Kita sempat melihat perkembangan Casablanca sebagai salah satu ‘Smart City’, di peringkat dunia. Ia antara bandar yang mempunyai pelbagai bentuk kemudahan ‘Smart City’.

“Saya sempat berbincang secara asas dengan Presiden Wilayah Casablanca, Mustafa Bakkoury. Kita sedang meneliti apakah kesesuaian di Casablanca yang boleh dilaksanakan, di Selangor,” katanya.

Pada pertemuan itu, Amirudin dan Mustafa turut berbincang berhubung kolaborasi ekonomi dan teknologi antara Selangor dengan Casablanca.

“Selangor dilihat bakal mendapat manfaat daripada kerjasama produktif dengan Casablanca terutama dalam visi mencapai ‘Smart State’ menjelang 2025, sekali gus membina reputasi sebagai ‘aktor’ serantau, di Asia Tenggara,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi dan Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.


Pengarang :