PBTSELANGOR

Kes denggi di Kuala Langat menurun

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANTING, 22 OKT: Daerah Kuala Langat mencatatkan penurunan 357 kes demam denggi dengan satu kematian sehingga 14 Oktober lalu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah itu berbeza dengan tahun lalu yang merekodkan 1,328 kes dengan dua kematian.

“Walaupun menurun, namun saya menyeru penduduk terus mengekalkan penjagaan kebersihan rumah, termasuk membuang bekas yang bertakung air untuk memastikan kes denggi terus menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Karnival Sihat Cergas dan Cantik, di Pusat Latihan Penguatkuasaan Selangor (PULAPES) Jugra, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnol Baharuddin.

Mengulas berkenaan karnival itu, Dr Siti Mariah berkata, ia adalah hasrat Kerajaan Negeri untuk menggalakkan rakyat mengamalkan cara hidup sihat.

Katanya, gaya hidup aktif dapat mengurangkan risiko diserang penyakit popular yang menjadi punca kematian rakyat Malaysia.

“Ia termasukjantung, diabetes dan darah tinggi, justeru jagalah kesihatan sebaiknya, ia akan mengurangkan perbelanjaan rawatan serta perubatan,” katanya.

 


Pengarang :