BERITA UTAMASELANGOR

Ketua kampung terima elaun RM1,200

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM700 sebagai elaun kepada ketua kampung, manakala Kerajaan Persekutuan memberi RM500 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,200.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana RM10,000 kepada setiap ketua kampung bertujuan merancang dan melaksanakan program bersesuaian serta bermanfaat kepada masyarakat.

“Manakala, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut memberi dana tambahan kepada ketua kampung untuk melaksanakan pembiayaan program berkenaan kesejahteraan dan keceriaan kampung.

“Setiap ketua kampung pula perlu melantik seorang setiausaha dan 11 biro, sekali gus menjadikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung seramai 13 orang untuk setiap kampung,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu 3, di sini, hari ini.

Selain itu, Rodziah berkata, salah satu biro yang dilantik akan bertanggungjawab memantau dan mengemas kini maklumat infrastruktur kampung ke Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional.

“Setiap ketua kampung akan diberi taklimat berkenaan sistem ini seberapa segera. Satu penerangan khusus akan diadakan dan diuruskan Kerajaan Negeri bersama Pejabat Daerah dan KPLB kepada semua ketua kampung,” katanya.

Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan nama calon ketua kampung bagi 354 kampung, di Selangor termasuk lima daripadanya adalah wanita.

Bagaimanapun, masih terdapat 17 lagi kekosongan jawatan ketua kampung yang akan dikemukakan kepada MMKN dalam tempoh terdekat menjadikan jumlah keseluruhan adalah 371.

Difahamkan, lima ketua kampung wanita itu terdiri adalah calon dari kampung tradisi, iaitu di Hulu Selangor (satu); Kuala Langat (satu) dan Hulu Langat (tiga).


Pengarang :