NASIONAL

KKM pandang serius penularan beguk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu penularan wabak beguk yang kini berlaku di dua buah sekolah, termasuk Kajang dan Gombak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menasihatkan supaya murid yang dijangkiti penyakit terbabit supaya tidak hadir ke sekolah.

Katanya, kejadian kluster beguk, di Kajang dilaporkan pada 14 Ogos lalu, sementara di Gombak pula pada 16 Oktober lalu.

“Semua pelajar terbabit dari kedua sekolah ini berada dalam keadaan stabil dan sudah mendapatkan rawatan.

“Tindakan kawalan dan pencegahan sudah dijalankan termasuk pengasingan pelajar dan pendidikan kesihatan sejak isu berkenaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Noor Hisham berkata, sehingga 20 Oktober lalu, sebanyak 75 kluster beguk dilaporkan, di seluruh Malaysia berbanding 4 kluster bagi tempoh sama, pada 2017.

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 59 kluster (78.7 peratus) berlaku, di sekolah.

“orang ramai yang mengalami gejala dan tanda beguk diminta mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mengamalkan etika batuk juga bersin yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit berkenaan,” katanya.


Pengarang :