NASIONAL

KKM rampas ubat tidak berdaftar bernilai RM25.7 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM25.7 juta ubat tidak berdaftar dirampas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam lebih 1,000 serbuan sehingga September lalu.

Timbalan Pengarah (Perisikan dan Operasi) Bahagian Penguat kuasaan Farmasi KKM, Adnan Salimin berkata, serbuan itu diadakan di 88 kawasan ‘panas’ membabitkan 700 premis yang dikategorikan sebagai tegar menjual produk berkenaan.

“Kawasan hotspot itu di kawasan tumpuan sekitar pusat bandar dan pekan kecil selain kawasan yang menjadi tumpuan warga asing.

“Penempatan peneroka Felda dan Felcra serta sekitar hab pengangkutan awam seperti bas serta kereta api turut termasuk dalam kawasan hotspot ini,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Adnan berkata, ekoran kawasan itu menjadi tumpuan, penjual dan pengedar mengambil kesempatan menjadikannya sebagai hotspot kerana permintaan tinggi terhadap produk itu.

Katanya, empat jenis produk ubat tidak berdaftar utama yang ditemui dalam rampasan pada tahun ini ialah produk pelangsingan yang menyumbang kepada RM961,595 nilai rampasan diikuti produk peransang seks (RM530,616), produk penahan sakit (RM376,680) dan produk injeksi kecantikan (RM137,187).

“Kita juga mendapati kebanyakan produk penahan sakit adalah produk yang diimport, manakala produk dari jenis lain dihasilkan di dalam negara secara tidak sah,” katanya.

Difahamkan, produk itu antaranya mengandungi bahan seperti steroid bagi produk penahan sakit, sibutramine (produk pelangsing), sildenafil dan tadafil (peransang seks) dan hydroquinone (injeksi kecantikan).

 


Pengarang :