NASIONAL

KKMM komited jamin kebebasan media

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mengulangi komitmen untuk memastikan kebebasan media terjamin, selain liputan media yang seimbang kepada setiap parti politik dalam negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yakin ruang yang disediakan secara adil kepada setiap pihak berkenaan akan memberikan rakyat maklumat yang seimbang dan lebih tepat.

“Kerajaan sentiasa komited dalam menjamin kebebasan media serta melaporkan berita dan buat kritikan kepada kerajaan, ini kerana berita yang tepat tanpa berat sebelah akan mencorakkan pemikiran rakyat agar jadi lebih matang,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini

Eddin Syazlee berkata, RTM sebagai agensi penyiaran di bawah kerajaan bagaimanapun akan mengutamakan nilai berita, kepentingan dan minat rakyat terlebih dahulu dalam menyiarkan sesuatu berita.

Mengenai celahan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang mahu tindakan tegas diambil terhadap blog dan akaun Facebook yang menyebarkan fitnah, Eddin Syazlee berkata pemantauan secara seimbang sememangnya dilakukan kementerian sebelum tindakan menyekat sesuatu laman sesawang atau akaun Facebook.

Beliau berkata, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerajaan memberi jaminan tiada tapisan internet, namun ia juga terbatas kepada perkara-perkara tertentu.

“Dalam perkara-perkara yang menyebabkan kandungan yang bertentangan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia khususnya mengandungi sentimen yang menjejas ketenteraman, selalunya tindakan akan diambil termasuk menyekat Facebook dan laman sesawang berkenaan,” katanya.

Mengenai soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung tindakan kerajaan selepas Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 tidak diluluskan Dewan Negara, Eddin Syazlee berkata ia berada di luar bidangnya untuk menjawab.

“Tetapi cukup untuk saya maklumkan, sekalipun akta itu tidak diguna pakai, kita punyai peruntukan undang-undang sedia ada yang cukup… memadai untuk menangani isu-isu berkaitan berita palsu dan seumpama,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, sebagai rangka meluaskan liputan fiber dan meningkatkan kelajuan internet seluruh negara, beliau berkata, kerajaan akan terus memberi lesen kepada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan internet yang memenuhi syarat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :