PENDIDIKANSELANGOR

Komited perluas kemahiran pelajar Selangor di Timur Tengah

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri komited memastikan nasib pelajar Selangor di Timur Tengah khususnya Mesir, Jordan dan Maghribi terus diperkasa serta diperkukuhkan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar di tiga negara terbabit supaya mereka dapat melaksanakan aktivit sosial atau program kemasyarakatan, sepanjang pengajian.

“Di samping itu, kita cuba untuk menyediakan beberapa peluang dan potensi pekerjaan kepada mereka seperti menjadi eksekutif bahagian halal yang akan dilaksanakan Halal International Selangor.

“Saya juga turut menyarankan mereka untuk keluar daripada pemikiran terhad yang tertumpu kepada bidang dipelajari sahaja dengan beralih kepada industri lain seperti kemahiran dengan skop lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafetaria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Pada masa sama, Amirudin juga yakin pelajar di Timur Tengah mempunyai nilai tambah terhadap profesion baru yang bakal mereka ceburi selepas tamat pengajian jika mengikuti latihan atau kursus dalam bidang teknikal juga industri lain.

“Ini juga sebahagian cadangan kita kepada golongan pelajar ini supaya mereka dapat mengisi ruang diperlukan oleh pasaran pekerjaan selaras dengan konsep ‘Maju Bersama’ yang selalu saya ketengahkan dalam pertemuan bersama rakyat,” katanya.


Pengarang :