NASIONAL

KPKT kenal pasti sukarelawan bantu jaga kanak-kanak di PPR

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti sukarelawan bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, program sokongan komuniti di PPR itu sudah dimulakan menerusi Program Mendaya Komuniti, di PPR Lembah Subang 2, pada 30 September lalu.

Katanya, ia akan dikembangkan kepada PPR lain secara berperingkat.

“Menerusi program ini, kerajaan mengenal pasti beberapa penduduk untuk menjadi sukarelawan dan menempatkan Pegawai Sekretariat, di PPR dari kementerian.

“Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, sukarelawan ini diberikan latihan sewajarnya dalam asas penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon pada sesi menjawab soalan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Zuraida berkata, tugas Pegawai Sekretariat dari Kementerian adalah untuk mengenal pasti dan menyediakan sistem pemantauan bagi memastikan sukarelawan yang terlatih terbabit dengan penjagaan kanak-kanak.

“Seterusnya mereka perlu menyediakan laporan berkala berkenaan penjagaan kanak-kanak di PPR itu untuk dikemukakan kepada kementerian,” katanya.

 


Pengarang :