SELANGOR

Kuala Selangor jadi tumpuan burung migrasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 23 OKT: Daerah Kuala Selangor menjadi lokasi burung migrasi pelbagai spesies bermula Oktober ini sehingga Mac tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ribuan spesis burung berhijrah dan singgah di kawasan pantai dari Sabak Bernam hingga ke Bagan Lalang.

“Kawasan pantai berlumpur di sini kaya dengan ketam, cacing, siput dan anak ikan yang menjadi makanan burung migrasi.

“Ini kerana, pantai di Selangor antara yang produktif daripada segi kepelbagaian biologi, manakala kawasan pasang surut pantai yang berlumpur ini kaya dengan organisma bentik dan tempat persinggahan burung berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Pesta Sayap Kuala Selangor 2018, di Taman Alam Kuala Selangor, di sini.

Program anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan sebuah organisasi pemuliharaan habitat burung yang bertapak di United Kingdom, iaitu ‘BirdLife International’ serta East Asian-Australasian Flyway Partnership.

Juwairiya berkata, acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran berkenaan burung migrasi dan memulihara hutan paya bakau serta habitat tanah basah mereka.

“Ia juga bagi memantau dan mengumpul data burung migrasi atau burung berhijrah di habitat hutan serta tanah lembap.

“Selain itu, pesta ini selaras objektif menjangkau komuniti dan orang awam khususnya belia supaya menjadi pengurus alam sekitar yang berkesan,” katanya.


Pengarang :