NASIONAL

Lapor salah laku kepada JPP – Anwar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Semua aduan berkaitan Pemilihan KEADILAN 2018 perlu dilaporkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) termasuk isu penemuan ‘jammer’, di Kuala Selangor.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pimpinan juga boleh bertanya terus dalam Mesyuarat Biro Politik jika timbul sebarang isu.

Beliau turut menegaskan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dan menyerahkan kepada JPP serta Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat semua aduan diberikan.

“Saya selalu mengesyorkan bawa kepada JPP (untuk sebarang isu) dan ambil tindakan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“JPP menjawab ‘jammer’ itu tidak menghalang kerana applikasi berkenaan sudah dimuat turun dan cubaan menghalang (menggunakan jammer) tidak berhasil kerana mereka belajar daripada pengalaman di Kedah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik teguran BERSIH 2.0 berhubung isu kesalahan sepanjang Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Katanya, beliau meneliti setiap teguran dibangkitkan dan menjelaskan setiap majlis dihadiri adalah jemputan penganjur.

“Saya sambut baik teguran dan kita tengok secara spesifik teguran seperti program M Nasir, saya dijemput. Mengapa tidak jemput calon lain kena tanya dia (penganjur). Itu pun sekejap, saya dengar satu dua lagu kemudian beredar.

“Jamuan yang saya hadir dijemput di kuil dan tokong juga dijemput. Ada badan bukan kerajaan yang taja majlis makan tetapi saya hadir berucap dan pergi tanpa makan di situ.

“Kalau betul (dakwaan), kita akan bincang dengan BERSIH 2.0 untuk perketatkan undang-undang,” katanya.

 


Pengarang :