BERITA UTAMASELANGOR

Lawatan ke Timur Tengah buah hasil, teliti kebajikan pelajar

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lawatan kerja beliau ke Timur Tengah membuahkan hasil penting khususnya bagi meneliti dan membantu pelajar negeri itu yang melanjutkan pengajian di sana khususnya Mesir, Jordan dan Maaghribi.

Amirudin turut merakamkan perhargaan dan terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia di negara itu kerana kerjasama berterusan khususnya dalam menjaga kebajikan pelajar Selangor.

“Mesir contohya mempunyai sejarah yang begitu panjang, bahkan Universiti Al-Azhar antara universiti tertua, di dunia. Sudah pasti, universiti ini menjadi rujukan utama kepada ramai pihak khususnya cendiakawan Islam yang lahir, di Malaysia.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk menambah kakitangan di negara itu dalam usaha memberikan yang terbaik kepada pelajar Selangor, di sana.

“Apa yang saya laksanakan ini juga adalah kesinambungan daripada apa yang sudah dilakukan mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, untuk melihat dan meneliti bagaimana perkembangan pelajar kita di Timur Tengah termasuk meningkatkan kualiti prasarana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Dato’ Menteri Besar bersama Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama, Mohd Haniff Abdul Rahman, di Intercontinental Cairo Citystar, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin yang dalam lawatan kerjanya ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan dan kemudian mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Sementara itu, Mohd Haniff berkata, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama antara kedutaan dengan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan keselesaan juga penambahbaikan untuk pelajar.

“Setakat ini, kami mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi dan semua Kerajaan Negeri. Setiap sekali atau dua kali sebulan, kita akan adakan mesyuarat dengan wakil setiap negeri bagi membincangkan masalah sama ada pentadbiran atau pelajar.

“Selain itu, kita juga dapat sumbangan jitu daripada Pejabat Dato’ Menteri Besar, JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor untuk bantu pelajar Selangor, di sini. Pertemuan singkat ini juga dapat menjalinkan silaturrahim antara Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor dan kedutaan demi manfaaat pelajar,” katanya.

 


Pengarang :