SELANGOR

Lawatan MB rawat resah mangsa banjir

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JERAM, 19 OKT: Keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat mangsa di pusat pemindahan banjir Balai Raya JKKK, Kampung Bukit Hijau, di sini, sedikit sebanyak menceriakan mangsa yang resah dengan bencana menimpa mereka, sejak Ahad lalu.

Kehadiran Amirudin disambut mangsa yang berada di perkarangan balai raya berkenaan dengan perasaan gembira dan teruja.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit bertanyakan khabar dan mendengar rintihan mangsa.

Sebelum itu, pusat pemindahan terbabit menempatkan 77 mangsa daripada 24 keluarga selepas rumah dan laluan ke rumah mereka dinaiki air.

Mangsa, Miza Salima, 41, yang juga suri rumah sepenuh masa menyifatkan Amirudin seorang pemimpin yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dan prihatin terhadap nasib rakyat.

“Saya sungguh terharu dan bersyukur apabila menerima kehadiran Menteri Besar kerana sudi menjenguk serta bertanya khabar kami di sini,” katanya ketika ditemui Selangor.

Miza berkata, walaupun sedih dengan ujian menimpa keluarganya, namun ia sedikit terubat apabila pemimpin negeri itu hadir memberi suntikan semangat dan sokongan moral.

“Saat kami mengalami kesusahan begini, beliau hadir memberi semangat yang tidak putus.

“Walaupun terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara menunggu keadaan pulih seperti biasa, saya bersyukur kerana balai raya ini agak selesa dan layanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak lain yang membantu kami juga cukup baik,” katanya.

Senada dengan Miza ialah adiknya, Mahani Saliman, 36, yang menyifatkan kesudian Menteri Besar menziarahi mereka di penempatan itu, sekali gus mengubat keperitan akibat bencana berkenaan.

Katanya, rumah yang didiami bersama seorang lagi anak perempuannya mula dinaiki air petang Ahad lalu selepas hujan lebat turun tanpa henti.

“Air naik terlalu cepat, saya dan anak sempat kemas sedikit sahaja barang dan terpaksa berpindah, pada petang itu selepas rumah dinaiki air hampir paras betis sehingga menyukarkan kami untuk keluar.

“Kampung ini memang setiap tahun dilanda banjir dan boleh dikatakan hampir setiap tahun juga kami berpindah ke pusat pemindahan tetapi tahun ini lebih teruk,” katanya.

 

 


Pengarang :