EKONOMINASIONAL

Lawatan Tun M ke AS dan UK berjaya tarik minat pelabur, bantu pulihkan ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kerajaan berusaha menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini bagi mengatasi kemelut ekonomi dan kewangan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antaranya dengan mengadakan lawatan ke luar negara untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menguntungkan.

“Dalam lawatan saya ke Amerika Syarikat dan United Kingdom sebelum ini, kita telah berjaya menarik minat pelabur di sana untuk datang ke Malaysia.

“Saya pasti masa itu akan tiba dan ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang hutang negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Malaysia Confrence 2018: A Malaysia New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB Bank di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Mahathir turut melahirkan rasa kecewa di atas sikap tidak bertanggungjawab pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan negara mempunyai hutang terlalu besar dan kehilangan dana berbilion ringgit.

Beliau berkata, akibatnya pentadbiran Kerajaan hari ini terpaksa mencari jalan menyelesaikan bebanan yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, forum yang diadakan hari ini menarik kehadiran kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada pelabur, penganalisis ekonomi dan lain-lain.


Pengarang :