PENDIDIKANSELANGOR

Lebih 8,000 pengunjung jayakan “Join Hands and Make A Pledge” Sunway

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 9 OKT: Lebih 8,000 menyertai program ikrar sokongan kepada 17 bidang utama dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) di Sunway City, di sini, semalam.

Pengasas dan Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata, program terbabit disertai golongan selebriti, duta besar, pemimpin kerajaan dan wakil korporat, bagi memperjuangkan komitmen UNSDG ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik untuk generasi sekarang serta masa hadapan.

Katanya, penglibatan awam yang besar akan dapat memastikan mesej disampaikan mampu didengari di seluruh negara.

“Inilah tujuan utama inisiatif ini, iaitu untuk membuat generasi akan datang menyedari betapa pentingnya untuk mengikuti 17 sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu seperti ini, saya takut generasi akan datang akan menderita kerana perubahan iklim dan pencemaran, dan bumi tidak lagi menjadi tempat sesuai untuk kehidupan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Pada masa sama, Cheah berharap program yang dianjurkan itu dapat menggalakkan negara dan komuniti lain turut serta berikrar untuk UNSDG, terutama mengenai perubahan iklim.

Terdahulu, Universiti Sunway dan organisasi lain termasuk Universiti Monash, Pusat Perubatan Sunway, Sunway Lagoon, Sunway Hotel dan Sunway Pyramid juga bekerjasama menyokong matlamat sama.


Pengarang :