Selangorkini
SELANGOR

Lima kawasan Sungai Kandis terjejas akibat banjir kilat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KALANG, 10 OKT: Lima kawasan di Sungai Kandis terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, antara lokasi terlibat ialah Jalan Kebun, Kampung Seri Kambus, Kampung Jawa, Kampung Bandar Puteri dan Johan Setia.

Katanya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku lebih daripada dua jam dan juga air pasang besar yang berlaku sejak semalam hingga Khamis ini.

“Selain itu pihak saya turut mengesan masalah parit tersumbat menjadi punca kepada banjir kilat ini.

“Namun kita dapat menarik nafas lega kerana air surut dengan cepat dan membolehkan kerja pembersihan dilakukan segera,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah segera dengan melakukan kerja pembersihan awal pagi ini.

Katanya, banjir berlaku di Jalan Kebun adalah berpunca daripada masalah perparitan, begitu juga dengan Bandar Puteri yang kini dalam perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Saya juga ingin menasihatkan penduduk supaya memantau tahap kebersihan parit dan longkang di perumahan mereka.

“Untuk pengetahuan, terdapat empat jenis parit iaitu parit JPS, parit PBT, parit Jabatan Kerja Raya (JKR) dan parit individu, oleh sebab itu, parit berkenaan perlu dipantau kebersihannya tanpa mengharapkan pihak bertanggungjawab.

“Apabila ia dijaga mungkin kita boleh kurangkan masalah banjir kilat ini,” katanya.


Pengarang :