SELANGOR

Lombong Taman Putra tidak sesuai untuk sebarang aktiviti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 OKT: Lombong Taman Putra Puchong, di sini, yang menjadi tragedi mati lemas enam anggota bomba malam tadi adalah kawasan pengawalan air banjir dan tidak sesuai untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian bagi mengesahkan keadaan lombong berkenaan.

Katanya, keenam anggota terbabit melakukan kerja mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan terjunan air itu.

“Difahamkan di bawah itu ada batu-batu yang diletakkan untuk memecah air jadi kita percaya salah seorang daripada mangsa telah terpijak batu berkenaan dan tergelincir seterusnya menarik kesemua mangsa lain.

“Kita dapati air tidak dalam tapi kederasan air kuat disebabkan hujan lebat petang semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Upacara Penghormatan Terakhir enam anggota bomba yang mati lemas itu, di Balai Bomba Seksyen 15, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, kesemua anggota terbabit mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sewaktu menjalankan operasi menyelamat seorang remaja berkenaa.

Malah katanya, misi mencari itu diteruskan meskipun dalam keadaan gelap memandangkan ia dijalankan di permukaan air (Surface Water Rescue).

“Ramai yang mempersoalkan kenapa perlu menyelam pada waktu malam, tetapi jika keadaan mengizinkan kita juga buat kerja malam.

“Mereka juga mengikut SOP dan strategi untuk surface water rescue di kawasan seperti itu, bahkan kita turut menyemak dengan supervisor mereka,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lebih terperinci bagi mengenalpasti dan memperbaiki SOP taktikal berhubung kejadian berkenaan.

Terdahulu, keenam jenazah anggota bomba Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang meninggal dunia malam tadi dibawa ke kampung halaman masing-masing seusai solat jenazah di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15, di sini, sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Jenazah diberikan tabik hormat daripada anggota dan pegawai bomba sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah untuk dikebumikam di kampung halaman masing-masing.

Sebelumnya, sembahyang jenazah diimamkan Penguasa Bomba Unit Agama Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya Mohd Luqman Ramli.

Jenazah Mohd Fatah Hashim, 34, akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Baru Beserah, Pahang; manakala Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 (Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan) dan Mazlan Omarbaki, 25, (Tawau, Sabah).

Jenayah Yahya Ali, 24 pula dikebumikan di Kampung Tian, Matu, Sarawak; Adnan Othman, 33 (Lukut, Port Dickson Negeri Sembilan); dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas, Kelantan.


Pengarang :