NASIONAL

Loy Sian: Optimis pelaksanaan sistem E-Voting dikaji semula

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 31 OKT: Pemilihan KEADILAN yang kini menggunakan sistem E-Undi (E-Voting) perlu dikaji semula, kata penyandang Ketua Cabang Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Katanya, beliau optimis Jawatankuasa Pemilihan Parti memainkan peranan bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana ia membabitkan nama baik parti itu sendiri.

“Saya terima banyak aduan daripada beberapa pihak terutama calon yang kalah mereka tidak dapat menerima keputusan menggunakan sistem E-Undi kerana dianggap sebagai tidak adil.

“Mungkin ia kali pertama dilancarkan, jadi saya rasa terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini.

Mengulas sama ada sistem E-Undi akan diteruskan pada masa akan datang, beliau berkata, ia bergantung kepada pemimpin yang dipilih nanti.

“Bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya pemilihan kembali kepada sistem lama dengan menggunakan konsep pangkah.

“Malah, jika dilihat masih ada dalam kalangan anggota parti yang buta IT, tidak adil untuk mereka sebab itu kita perlu wujudkan sistem semua anggota boleh terima,” katanya.

Sistem E-Undi diguna pakai pada pemilihan KEADILAN kali ini menggunakan undian dalam talian, iaitu setiap telefon pintar akan dijaga pengawal bertugas dan sistem itu hanya membenarkan setiap kod QR digunakan sekali sahaja.

 


Pengarang :