EKONOMISELANGOR

LZS komited lahir usahawan asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 OKT: Mencuba nasib dengan berniaga adalah keputusan tepat buat Che Salamiah Malik, setelah berjaya mengusahakan pelbagai jenis rempeyek sebagai produk utama.

Modal untuk memulakan perniagaan itu hasil bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib golongan asnaf memerlukan bagi mencapai tahap kehidupan lebih baik.

LZS dalam satu kenyataan berkata, Che Salamiah yang menetap di Klang menerima bantuan Zakat Selangor melalui bantuan modal pusingan berjumlah RM1,000 pada Mei 2014.

“Beliau turut menerima bantuan modal yang sama sebanyak RM2,000, pada Disember 2017.

“Selain itu, beliau menerima bantuan bagi Label Produk di bawah pembangunan produk berjumlah RM3,500 bagi meningkatkan pasaran produk beliau dengan lebih luas,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan modal Zakat Selangor, Norazimah Hazmi, kini berjaya menjadi usahawan menerusi projek lori bergerak.

LZS berkata, usahawan terbabit memperoleh modal pusingan daripada pihaknya sebanyak RM1,500 termasuk bantuan peralatan perniagaan kira-kira RM1,870.16.

Katanya, beliau menjalankan perniagaan secara bergerak di tapak niaga seperti pasar malam, karnival, majlis dan bangunan kerajaan

“Pada masa sama, beliau turut bergiat aktif menjalankan perniagaan di merata tempat tanpa mengira lokasi dan waktu,” katanya.

“Beliau juga memberikan komitmen yang baik untuk menyertai program anjuran Zakat Selangor sebagai tanda sokongan kerana sudah banyak membantu dalam perkembangan perniagaan beliau,” katanya.

Katanya, mereka berdua antara contoh usahawan yang dahulunya penerima zakat, tetapi kini menjadi pengeluar zakat perniagaan.


Pengarang :