AGAMASELANGOR

LZS kutip RM757 juta wang zakat 2017

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip zakat sebanyak RM757 juta sepanjang 2017, kata Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM444.8 juta adalah zakat pendapatan, diikuti zakat perniagaan RM161.3 juta dan lain-lain zakat RM150.1 juta.

“Berdasarkan penyata kutipan dan agihan zakat 2017, zakat pendapatan melalui Skim Potongan Gaji menyumbangkan 40 peratus kepada kutipan zakat di negeri ini.

“Dicatatkan 4,217 syarikat, atau lebih kurang seramai 182 ribu kakitangan Islam menunaikan tanggungjawab mereka dengan jumlah keseluruhan kutipan RM302 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) di Hospital Shah Alam, semalam.

Sehingga kini, pada 2018, LZS sudahpun menguruskan RM377 juta transaksi zakat.

Abdul Basith berkata, setiap tahun pihaknya berusaha menyempurnakan amanah lebih 270 ribu pengeluar zakat di negeri ini dengan mengagihkan zakat
kepada lapan asnaf berhak.

“Dalam Islam, kita sentiasa dituntut supaya mempertingkatkan sumbangan dan khidmat kepada golongan memerlukan terutama bagi ibadah zakat,” katanya.


Pengarang :