SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

LZS prihatin nasib 15 penghuni satu rumah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

RAWANG, 19 OKT: Nasib sebuah keluarga yang terpaksa tinggal di rumah ‘berlangitkan’ bumbung bocor sejak sekian lama mendapat ihsan dan perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam kenyataan berkata, pihaknya segera menziarahi keluarga terbabit yang tinggal di Kampung Orang Asal, di sini, semalam, berdasarkan maklumat orang ramai.

Katanya, siasatan lanjut mendapati keluarga Nor Azura Canda, mengalami kekurangan sumber pendapatan memandangkan suaminya tiada pekerjaan tetap dan hanya menjalankan kerja kampung dengan hasil tidak seberapa.

“Kedaifan keluarga ini terasa apabila tinggal seramai 15 orang dalam satu rumah bersama dua ibu.

“Keadaan rumah mereka pula kecil dan hanya ada dua bilik. Lebih menyedihkan rumah mereka banyak mengalami kerosakan bumbung serta dinding,” katanya.

LZS berkata, setelah membuat semakan, pihaknya akan membantu keluarga terbabit sebagai asnaf miskin dan menyalurkan bantuan kewangan bulanan.

“Makanan bulanan dan baik pulih rumah juga akan dipertimbangkan kepada mereka, selain membantu isteri kedua berserta lima anaknya untuk tinggal berasingan di rumah sewa lain.

“Semoga usaha Zakat Selangor membantu keluarga ini dapat memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarga ini,” katanya.

Kisah menyayat hati keluarga berkenaan tular di laman sosial baru-baru ini apabila hampir keseluruhan atap rumah bocor dan terpaksa dilitupi kanvas buat sementara waktu.

Mereka memerlukan kos RM5,000 untuk menukar atap dan kayu alang.

Justeru, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan infaq kepada keluarga terbabit, boleh menghubungi Hajah Hanani di talian 0192218443.


Pengarang :