AGAMASELANGOR

LZS sumbang RM14.2 juta buat Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan sebanyak RM14.2 juta buat 18 hospital dan institusi perubatan melalui Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPH).

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan ketika menjalani rawatan di hospital.

Katanya, sebelum ini LZS telah menyalurkan sumbangan zakat fasa pertama pada Ramadan lalu iaitu sebanyak RM2.5 juta.

“Hari ini kita menyampaikan lagi sumbangan buat fasa kedua iaitu sebanyak RM11.77 juta, dan antara hospital yang menerimanya ialah Yayasan Institut Jantung Negara sebanyak RM1.4 juta dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), RM1.3 juta.

“Sementara itu Institut Kanser Negara, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara (MAKNA), masing-masing menerima RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Majlis Serahan Sumbangan TKPH di Hospital Shah Alam.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada semua penerima, hari ini.

Hadir sama isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhammad, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail, Pengerusi Institut Jantung Negara, Dato’ Seri Dr Aishah Ong dan Pengarah Kesihatan Selangor, Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Abdul Basith berkata, LZS turut menyalurkan bantuan kepada lima program utama termasuk Pembangunan Sosial, Pendidikan, Institusi Agama, Insan dan Ekonomi.

Katanya, bantuan perubatan antara sumbangan tertinggi dengan nilai mencecah RM87.8 juta buat golongan asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimi.

“Sementara itu bantuan sebanyak RM56.4 juta buat Bantuan Rawatan Dialisis yang disalurkan kepada 1,739 pesakit, sementara RM31.4 juta pula untuk bantuan perubatan yang disalurkan kepada 5,539 pesakit.

“Bantuan ini diberikan kerana LZS menyedari keperluan perubatan kepada asnaf meningkat saban tahun,” katanya.


Pengarang :