NASIONAL

MAIS contoh terbaik, perintis bantu asnaf LGBT

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertindak proaktif dan menjadi perintis membantu golongan memerlukan termasuk asnaf dalam kalangan Lesbian, Gay, Biseksual dan Trangender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, MAIS mendahului negeri lain di negara ini dalam perkara berkaitan dan ia menjadi contoh terbaik untuk diikuti.

“Bantuan zakat al-Riqab diberikan MAIS melalui perantaan mana-mana institusi, pusat, pertubuhan bukan kerajaan Islam dan individu perseorangan dibenarkan undang-undang serta hukum syarak.

“Ia berfungsi melaksanakan tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al-Riqab antaranya LGBT sebagai golongan terbelenggu dengan gaya hidup songsang dan perlu dibimbing supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian kerajaan terhadap isu LGBT dan Queer serta usaha dilakukan bagi membendung gejala berkenaan.

Mujahid berkata, kerajaan bertegas amalan seperti LGBT tidak diterima sama sekali di negara ini dan konsep kekeluargaan kekal sebagai pasangan lelaki dan wanita berkahwin, mempunyai anak termasuk anak angkat.

Katanya, kerajaan mengambil maklum berkenaan penularan budaya LGBT yang semakin membimbangkan mutakhir ini.

“Malaysia memperuntukkan undang-undang sivil berkenaan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

“Ia termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri berkenaan perlakuan liwat, musahaqah dan orang lelaki berlagak seperti wanita sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 28 di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Perselutuan) 1997 untuk membendung gejala LGBT,” katanya.


Pengarang :