AGAMASELANGOR

MAIS kupas pengurusan harta Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) daerah Zon Utara menganjurkan Seminar Pengurusan Harta Orang Islam bagi memberi penerangan jelas berkenaan perkara itu, di Dewan Raja Lumu, Kompeleks Islam Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Institusi itu dalam kenyataan berkata, seminar disertai kira-kira 100 peserta itu mendedahkan secara terperinci pengurusan harta Islam khususnya membabitkan wasiat, hibah dan pusaka.

Katanya, ia dianjurkan mengikut zon iaitu Utara (Kuala Selangor dan Sabak Bernam,), Selatan (Sepang dan Hulu Selangor), Timur (Hulu Selangor dan Gombak) dan Barat (Klang dan Kuala Langat).

“Tajuk yang diketengahkan dalam seminar pada kali ini ialah berkaitan wasiat dan hibah serta cara pengurusan juga pentabiran harta pusaka.

“Selain itu, MAIS juga turut mempromosikan Bijak Pusaka Game, iaitu permainan diadaptasi daripada Monopoly dan Saidina yang membantu membuka minda masyarakat untuk mendalami dan mencintai ilmu faraid,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, seminar itu dapat membantu peserta memahami bahawa harta pusaka seperti tanah, rumah dan wang perlu dibahagikan kepada waris yang layak selepas berlaku kematian.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan terlebih dahulu beberapa perkara berkaitan si mati, iaitu belanja pengurusan jenazah, hutang sama ada hutang dengan Allah SWT atau sesama manusia, menunaikan wasiat jika ada dan tuntutan lain yang berkaitan,” katanya.

Program itu dirasmikan Pengurus Masjid Jamek Sultan Ibrahim daerah Kuala Selangor, Muhammad Najwa Mohd Sharif dan dikendalikan penceramah jemputan Pengurus Harta Baitulmal MAIS, Indera Shahril Mohd Shahid.


Pengarang :