SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

MAIS, YIDE hulur sumbangan tanda solidariti keluarga bomba lemas

OLEH HAFIZAN TAIB

PORT DICKSON, 9 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyalurkan sumbangan RM1,500 kepada keluarga Allahyarham Adnan Othman yang terkorban dalam misi menyelamat mangsa lemas di Puchong, Selangor, 3 Oktober lalu.

Pengarah Pengurusan Korporat MAIS, Norraini Nordin berkata, sumbangan terbabit adalah tanda simpati MAIS dan YIDE serta meringankan beban ditanggung keluarga Adnan, 33.

Norraini berkata, MAIS akan turut menghulurkan sumbangan yang akan ditetapkan kepada keluarga lima lagi anggota Bomba yang terkorban selepas ini.

“Kita menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan wira negara yang terkorban dalam kejadian itu.

“Ia juga sebagai menghargai jasa bakti dicurah Allahyarham di sepanjang perkhidmatannya di Selangor,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Taman Datuk Abdul Samad di sini, hari ini.

Mewakili Pengerusi MAIS, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi, sumbangan itu disampaikan Anggota MAIS, Datin Paduka Suadah Sulaiman kepada balu Allahyarham, Shahmiza Salleh.

Norraini berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan lain bagi membantu keluarga itu jika perlu.

“Allahyarham mempunyai dua anak yang masih kecil dan sekiranya perlu kita akan mengkaji bantuan perlu untuknya atau merujuk kepada pihak berkaitan,” katanya.

Allahyarham Adnan adalah salah seorang daripada enam anggota Bomba yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, 3 Oktober lalu.

Beliau ialah anggota yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor.


Pengarang :