NASIONAL

Malay Mail bakal henti edisi cetakan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 OKT: Akhbar cetakan tertua di Malaysia, Malay Mail bakal menghentikan edisi cetakan dan beroperasi sepenuhnya secara digital, mulai 1 Disember ini.

Malay Mail yang pertama kalinya diterbitkan, pada 14 Disember 1896 itu juga bakal menghentikan beberapa kakitangan mereka.

Ketua Pengarangnya, Datuk Wong Sai Wan berkata, edisi cetakan dihentikan kerana perubahan hala tuju perniagaan yang kini lebih terarah kepada kandungan pemasaran digital.

“Sebelum ini, syarikat banyak bergantung kepada subsidi pengiklanan, kos editorial dan percetakan yang kini sudah tidak lagi berdaya maju.

“Syarikat ini juga akan meningkatkan perancangan digital menerusi pengambilalihan baru,” katanya.

Selain itu, katanya, satu pertiga daripada kakitangan Malay Mail mungkin perlu dihentikan perkhidmatan walaupun tiada yang dimuktamadkan.

Beliau berkata, mulai Disember ini, kakitangan Malay Mail diberikan tempoh seminggu untuk memutuskan sama ada mereka mahu meninggalkan syarikat terbabit atau dirombak dengan peranan baharu.

“Pergerakan kepada versi digital tunggal Bahasa Inggeris tertua, di Malaysia akan menjejaskan sehingga satu pertiga atau 55, daripada 164 kakitangan Malay Mail.

“Kini, industri media di seluruh dunia sudah beralih dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan merangkul teknologi digital sebagai medium mengembangkan berita serta berkomunikasi,” katanya.

Pertubuhan lebih besar, termasuk The Star Media Group juga turut menjalani penyusunan serupa, sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan pemberhentian ratusan pekerja.


Pengarang :