BERITA UTAMANASIONAL

Malaysia baharu tidak boleh ketepikan golongan miskin

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Walaupun ekonomi negara di era Malaysia Baharu hanya boleh digerakkan dengan kerjasama sektor swasta dan pelaburan langsung asing namun keperluan golongan memerlukan hendaklah diberi perhatian serius.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu ini perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kesenjangan taraf kehidupan rakyat seperti perbezaan dilihatnya di perkampungan nelayan Melayu dan perkampungan nelayan Cina di Port Dickson dapat diperbaiki.

“Ada di antara kita melihat pembaharuan pro-pasaran dengan mengorbankan sebahagian besar orang Melayu di mana sesetengahnya mungkin menderita, terutama dengan mengorbankan golongan miskin dan terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama khas di Malaysia Confrence 2018: Malaysia A New Dawn anjuran RHB, Maybank dan CIMB di Hotel Shangrila di sini, hari ini.

Anwar berkata, negara tidak lagi boleh mengharapkan rakyat membuat dua atau tiga pekerjaan bagi menampung kos sara hidup keluarga masing-masing.

Katanya, keadaan ini bukan sahaja menandakan suasana ekonomi yang buruk, malah memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosial masyarakat.

Ketika menyentuh hubungan perdagangan Malaysia dengan China dan India, Anwar mengingatkan bahawa negara ini mempunyai sejarah perhubungan perdagangan yang panjang.

“Kami mempunyai sejarah hubungan perdagangan yang panjang dengan China dan India dan mesti memastikan hubungan pelaburan perdagangan ekonomi dengan mereka terus dipertingkatkan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :