NASIONAL

Malaysia beri jaminan lindung pelabur asing

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan melindungi pelabur asing yang berhasrat untuk melabur, di negara ini tetapi bimbang berdepan layanan buruk akibat rasuah ketika berurusan dengan pegawai kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelabur yang berdepan masalah sedemikian digesa tampil membuat laporan jika berlaku sebarang salah laku.

“Tiada sebarang laporan berkenaannya (rasuah). Kita sendiri bersedia membuka sebarang siasatan jika ada sesiapa yang tahu berkenaan perbuatan rasuah ini.

“Tampil dan maklumlah (kepada kita) dan kita akan melindungi anda serta mengambil tindakan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan rasuah itu,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah 2018, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ramai pelabur yang sebelum ini enggan melabur, di Malaysia kini berbuat demikian selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Malah, beliau berkata, tidak seperti kerajaan terdahulu, tiada sesiapa dalam pentadbiran sekarang meminta 30 peratus bahagian saham secara percuma sebagai syarat meluluskan permohonan projek.

“Mereka (pelabur) menyatakan rasa gembira dengan layanan diterima daripada kerajaan ini,” katanya


Pengarang :