Foto Sumber: BERNAMA
GLOBAL

Malaysia ikrar ‘apa saja yang termampu’ tamatkan konflik di Selatan Thailand

BANGKOK 25 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjanjikan bantuan “apa saja yang termampu” yang boleh dihulurkan Malaysia kepada Thailand bagi menghentikan kitaran keganasan di wilayah selatan negara itu.

Beliau yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Thailand berkata, konflik di selatan negara itu merupakan satu peluang kepada kedua-dua negara untuk mempamerkan semangat kesetiakawanan antara mereka.

“Kami berikrar untuk membantu dengan apa saja cara yang termampu bagi menamatkan keganasan di selatan Thailand.

“Saya amat yakin dengan kekuatan hubungan kerjasama antara kita dalam menyelesaikan masalah bersama, sejujurnya kami mahu membantu mengurangkan atau menamatkan terus masalah sepenuhnya,” katanya dalam satu persidangan media bersama dengan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha di bangunan pentadbiran kerajaan di sini, semalam.

Terdahulu kedua-dua pemimpin serta delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala di lokasi yang sama di mana mereka berbincang pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Malaysia merupakan fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :