EKONOMI

Malaysia kekal peneraju kewangan Islam global

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan sektor itu sudah matang untuk terus cergas dengan pelbagai pemain industri, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, Malaysia terus menjadi pemacu utama bagi pasaran sukuk dan mewakili 51 peratus daripada sukuk terkumpul global berjumlah AS$396 bilion pada tahun lepas, sambil terus memimpin industri pengurusan kekayaan Islam dengan 36.5 peratus penguasaan global pada akhir 2017.

“Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam telah menjadi semakin rancak dengan pelbagai pemain industri, termasuk syarikat perundangan, perakaunan, teknologi dan penarafan serta platform perdagangan komoditi.

“Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan sampingan profesional di Malaysia mempunyai pengalaman luas dan berperanan penting dalam memacu pertumbuhan industri itu melepasi sempadan negara kita,” katanya dalam ucapan pembukaannya di Forum Kewangan Islam Global 2018 di sini, hari ini.

“Malaysia juga menerajui beberapa perkembangan inovatif dalam kewangan Islam, dengan matlamat untuk merangsang industri yang berkembang maju ini, seperti penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) pertama dan Sukuk Hijau, pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) dan pembangunan Dana Waqaf untuk membangunkan ekonomi Islam,” katanya.

Tahun lepas, Bank Negara Malaysia menerbitkan kertas strategik mengenai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang menjelaskan strategi untuk memperkukuh peranan dan impak bank Islam ke arah ekosistem kewangan yang mampan.

Dalam hal ini, Amiruddin berkata, langkah industri untuk mengguna pakai VBI akan memperkukuh kedudukan kepimpinan Malaysia dan meningkatkan pertumbuhan kewangan Islam untuk menjana kesan positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar.

Sementara itu, beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal kukuh dan dan berdaya tahan walaupun terdapat peristiwa global yang menimbulkan risiko kelembapan pertumbuhan ekonomi global kerana ia disokong oleh permintaan domestik yang mantap serta pertumbuhan dan perdagangan global yang mampan.

Amiruddin berkata, pertumbuhan dijangka berterusan, disokong terutama oleh aktiviti sektor swasta manakala keadaan pasaran pekerja yang positif dan pengembangan kapasiti akan terus menyokong penggunaan swasta dan pelaburan yang teguh.

“Momentum pertumbuhan akan disokong oleh pertumbuhan global dan momentum perdagangan yang mampan, perbelanjaan swasta dan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Timbalan menteri itu berkata, perbelanjaan sektor swasta dijangka mendapat manfaat daripada limpahan positif yang berterusan daripada permintaan luar kerana penunjuk terbaru menunjukkan peningkatan dalam sentimen perniagaan dan pengguna.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan perbelanjaan tambahan daripada cuti cukai, tambahnya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :