EKONOMI

Malaysia, Switzerland tubuh jawatankuasa khas minyak sawit

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kementerian Industri Utama dan Jabatan Persekutuan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan (EAER) Switzerland akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama yang terdiri daripada pakar dari kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam isu berkaitan minyak sawit.

“Jawatankuasa pakar khas itu akan meninjau peluang berkaitan minyak sawit ke arah kelestarian, perdagangan dua hala, pertukaran teknologi saintifik yang berkaitan dan kemungkinan kerjasama dalam aplikasi hiliran industri minyak sawit,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya usaha itu telah dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan di Bern, Switzerland antara Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Anggota Majlis Persekutuan Switzerland, Johann Schneider-Ammann.

Mesyuarat itu diadakan dalam tempoh yang penting sejak 25 Sept, 2018, apabila Dewan Negara Parlimen Switzerland menang tipis dalam usul untuk mengehadkan pengimportan dan penggunaan minyak sawit di negara itu.

Usul Switzerland itu timbul daripada kebimbangan mereka bahawa minyak sawit dihasilkan secara tidak lestari dan menyumbang kepada penebangan hutan.

Maklumat salah itu disebarkan melalui kempen anti-minyak sawit oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berjaya mewujudkan persepsi negatif terhadap minyak sawit.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa jawatankuasa khas bersama itu akan berjaya ke arah menangani banyak sentimen negatif berkaitan minyak sawit di Switzerland dan akan menjadi platform penting untuk memberi jaminan kepada petani tempatan Switzerland bahawa minyak sawit yang diimport tidak akan memberi ancaman kepada kehidupan mereka pada masa akan datang.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :