SELANGOR

Masalah longkang tersumbat dapat perhatian

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 11 OKT: Penduduk Kampung Mahkota, Jalan Sungai Tua, kini mampu menarik nafas lega apabila masalah sistem perparitan yang tersumbat di kawasan itu mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya sudah meminta Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Kerja Raya bagi menjalankan tindakan susulan berhubung aduan masalah terbabit.

Katanya, operasi penyelenggaran dan langkah pembersihan segera dibuat sejurus maklum balas dipanjangkan kepada agensi berkenaan.

“Sebelum ini, kami sering menerima rungutan penduduk berkenaan masalah longkang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir kilat kerana longkang tidak mampu menampung jumlah air hujan.

“Malah, sampah yang memenuhi longkang ekoran pembuangan tidak terkawal daripada pihak tidak bertanggungjawab turut menimbulkan bau kurang senang di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, pada 6 Oktober lalu, beberapa laporan diterima berhubung kegusaran penduduk terhadap permasalahan longkang tersumbat ekoran pembuangan sisa sampah dan bahan buangan, di kawasan terbabit.

Lanjutan keadaan itu juga menyebabkan banjir kilat kerap berlaku sehingga menjejaskan perniagaan, selain mengakibatkan kerugian terhadap peniaga berhampiran.

Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata, masyarakat perlu lebih peka dan memainkan peranan menjaga kebersihan longkang bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pada masa akan datang.

Katanya, masyarakat tidak boleh mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja untuk membersihkan longkang memandangkan tanggungjawab itu harus dipikul secara bersama.

“Saya berharap semua penduduk memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjaga kebersihan untuk tidak membuang sampah yang boleh menyebabkan longkang tersumbat.

“Masyarakat juga perlu mengambil inisiatif membersihkannya, sebaliknya bukan membuang sampah atau dijadikan sebagai tong sampah kerana jika longkang tersumbat, besar kemungkinan banjir kilat atau perkara tidak diingini terjadi lagi.

“Pada masa sama, saya berharap kejadian ini membuka mata masyarakat supaya membuang sikap mementingkan diri sendiri demi menjamin kebaikan bersama,” katanya.


Pengarang :