Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 21 OKT: Mohamad Sabu atau Mat Sabu ‘dikepung’ lagi di Singapura. Kali ini di Restoran Al Jasra, Changi Rd.

Kejadian berlaku ketika Menteri Pertahanan itu singgah di restoran itu semalam selepas temu bual bersama Bernama di Changi Naval Base sebelum berlepas pulang ke tanah air.


Mat Sabu berada di sini selama tiga hari sejak 18 Okt dalam rangka lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari hingga 20 Okt.

Menteri itu pernah ‘dikepung’ pada Jun lalu di Singapura ketika singgah di Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat.

Beliau turut ‘dikepung’ oleh pekerja-pekerja hotel termasuk Chef tempat beliau menginap ketika di republik itu.

Semalam, beliau tidak ‘dilepaskan’ sekali lagi untuk beberapa ketika oleh orang awam.

Ia memberi sedikit tekanan dan kegelisahan di wajah pegawai pengiring Singapura yang bertugas menjaga keselamatannya.

Rata-rata pengunjung di restoran itu mengenali Mat Sabu dan ‘mengepung’ beliau bertujuan hanya untuk berswafoto bersama seorang daripada pemimpin utama Pakatan Harapan itu.

Mat Sabu seperti biasa tidak menolak dan bersalaman bersama orang awam yang menyapanya.

Ketika melintas jalan bersama Mat Sabu, Bernama turut menyaksikan seorang pemandu van tergesa-gesa menurunkan cermin tingkap dan memanggil “YB Mat Sabuu.!”

Mat Sabu dengan bersahaja menyahut “Ya.. Dari mana..?” Dan dijawab pemandu tersebut “Dari Penang…”

Walaupun berjaga-jaga, pegawai keselamatan Singapura tetap memberi ruang untuk orang awam mendekati Mat Sabu.

Mereka tetap mengiringi Mat Sabu walaupun ketika beliau memilih lauk dan membasuh tangan di sinki.

Mungkin sedikit berlainan bagi mereka ‘mengiringi’ pemimpin bernama Mat Sabu ini kerana beliau tidak kekok untuk makan bukan di restoran lima bintang dan bertemu orang awam tanpa protokol.

SUMBER: BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next