SUKANKINI

MB bangga kejayaan Ridzuan Puzi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kejayaan jaguh Para Asia negara, Mohammad Ridzuan Puzi yang mencipta rekod dunia dalam acara olahraga Sukan Para Asia 2018, di Jakarta, semalam, sebagai cukup membanggakan.

Menerusi catatan terbaharunya di Twitter, Amirudin mengucapkan tahniah kepada atlet berkenaan kerana berjaya mengukir nama Malaysia di persada dunia.

“Tahniah Ridzuan Puzi @pridzuan36 terus mengharumkan nama negara di persada dunia ! Kejayaan kontinjen Malaysia di Sukan Para Asian terus membanggakan. Syabas ! #KamiLuarBiasa #AsianParaGames2018,” tulisnya.

Coretan kegembiraan dari temasya itu turut dikongsi bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman Twitter rasmi miliknya.

“Semoga atlet para kita menemui lebih banyak kejayaan selepas ini #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh,” tulisnya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menerusi Twitter pula menganggap kejayaan yang dilakar atlet terbabit adalah sangat luar biasa, sebaliknya turut menyuarakan rasa bangga dengan pencapaian itu.

“ANOTHER WORLD RECORD! Tahniah Dik Wan @pridzuan36 atas kejayaan ini. I know you can do it, and you prove yourself once again. Go Malaysia! #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh,” tulisnya.

Pada acara yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Mohamad Ridzuan mempamerkan aksi memukau dengan mencatat masa 11.87 saat (s) dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov, pada 2013.

Sementara itu, seorang lagi atlet Para negara, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan melakukan lompatan sejauh 7.64 meter (m), meleburkan rekod terdahulu, 7.60m yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016, di Brazil.

Dalam perkembangan berkaitan, kontinjen negara menamatkan saingan hari kelima temasya dengan mengumpul dua pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan emas, 12 perak dan 17 gangsa untuk menghuni tangga kelapan.

China pula masih mengungguli carta kedudukan pingat dengan merangkul 104 emas, 50 perak dan 39 pingat gangsa


Pengarang :